top of page

Introduction

 

Kelahiran seorang bayi suatu saat yang mengembirakan. Namun kelahiran anak dengan klef bibir dan/atau kecacatan lelangit boleh menyebabkan kejutan dan kekecewaan. Hal ini boleh menyebabkan penolakan, ketakutan, perasaan bersalah, kemurungan atau keresahan bagi kedua-dua ibubapa, selalunya si ibu.

 

Klef ialah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan rekahan atau celahan dalam struktur bibir atau bumbung mulut. Ianya satu fenomena kongenital yang menjejas kira-kira 1 dalam 600-700 bayi yang baru lahir. Perlu diingatkan  bahawa klef jika berlaku sendiri, tanpa sindrom, tidak mengancam nyawa dan boleh dibaiki dengan jaya.

Bayi klef mungkin akan mengalami sedikit masalah penyusuan dan pemakanan ada mulanya. Banyak masa, penjagaan dan kesabaran diperlukan untuk menyusu dengan jaya. Penyusuan dan pemakanan yang betul adalah penting kerana berat badan dan kesihatan yang baik penting untuk menjalani pembedahan membaiki klef. Tidak mendapat susu yang cukup dan rasa lapar juga akan membuat bayi menangis dan ini boleh melemahkan semangat ibu.

 

Beberapa kaedah penyusuan yang dicadangkan:

 

1. Penyusuan ibu

 

2. Penyusuan botol dengan sudu penyuap (Softplas, botol lembut MAM, Haberman)

 

3. Penyusuan botol dengan puting khas (puting ortondotik MAM, NUK)

 

4. Tiub nasogastrik

 

5. Picagari

 

6. Sudu

 

7. Cawan

 


PENYUSUAN BAYI KLEF

 

Susu ibu tetap terbaik tetapi mempunyai klef akan menjadi cabaran yang besar kepada si ibu. Bayi dengan klef bibir biasanya boleh menyusu badan dengan jaya jika si ibu berminat. Untuk maklumat lanjut, sila layarihttp://www.bfmed.org/Resources/protocols.aspx, (Perkara No.17). Jika bayi tidak boleh menyusu badan, maka perahan susu ibu boleh diberi mengguna botol lembut dan puting khas, dengan sudu penyuap atau dengan sudu biasa secara langsung.

 

Tempoh masa: Bayi klef biasanya menghisap lebih perlahan maka waktu menyusu mungkin mengambil masa yang lebih lama. Jika bayi letih, pendekkan masa penyusuan tetapi kerapkan bilangan penyusuan . Jangan rasa kecewa tetapi terus menyusukan bayi kerana gerakan menghisap akan membantu menguatkan otot di dalam mulut untuk menyusu, mengunyah, dan kemudiannya untuk perkembangan pertuturan.

 

Susu terkeluar daripada hidung: Jangan terlalu bimbang jika ada susu keluar melalui hidung bagi bayi yang mempunyai klef lelangit sehingga menyebabkan percikan atau batuk. Kejadian ini normal disebabkan lubang pada lelangit. Oleh itu, anda mesti tenang dan bersabar apabila menyusukan bayi. Jangan tergesa-gesa menyusukan kerana perbuatan ini mungkin akan membuat bayi tersedak.

 

Keengganan untuk menyusu: Jika bayi enggan menyusu, cuba bertenang dan bersabar dengan bayi. Peluk atau pegang bayi sekejap sebelum kembali menyusu. Jika lubang puting terlalu kecil, anda boleh membesarkan lubang itu dengan menyucuk jarum yang dipanaskan sehingga kemerah-merahan ke dalam lubang puting. Ingat untuk sendawakan bayi lebih kerap untuk mengurangkan ketidakselesaan perut.

 

Pra-pembedahan: Sebaik-baiknya, ibubapa dinasihatkan untuk menggunakan botol dengan sudu penyuap beberapa minggu sebelum pembedahan. Amalan ini akan meningkatkan kejayaan pembedahan kerana penggunaan botol susu dengan puting boleh merosakkan jahitan (garis jahitan) dan berpotensi menyebabkan klef yang dibetulkan terbuka apabila bayi cuba untuk menghisap puting. Tambahan pula, bayi yang tidak biasa dengan penyusuan melalui sudu penyuap mungkin menolak cara sedemikian semasa tempoh selepas pembedahan. Hal ini boleh mengganggu bayi dan membuat dia menangis berlebihan sehingga boleh menyebabkan jahitan di bibir klef terbuka.

 

Elakkan tercekik dan cecair terkumpul di dalam telinga: Sewaktu menyusukan bayi anda, sama ada dengan sudu atau botol, sentiasa pastikan bayi duduk tegak di pangkuan orang yang menyusukannya, dengan kepala dan belakang ditampu. Kedudukan ini bertujuan mengelakkan bayi daripada tersedak. Khusus untuk bayi klef lelangit, menyusu secara duduk menegak mengurangkan risiko susu keluar daripada hidung. Lebih penting, kedudukan sebegini membantu untuk menghalang susu daripada masuk ke telinga tengah yang dapat menyebabkan jangkitan telinga akibat cecair yang terkumpul.

 

Selepas pembedahan: Selepas pembedahan, susukan bayi mengunakan botol bersama sudu penyuap. Perlahan-lahan picitkan botol lembut untuk keluarkan susu dan tekan penyuap di sudut mulut atau tepi bibir untuk memudahkan bayi menelan. Sudu penyuap mengambil lebih masa tetapi gunakan cara sebegini sekurang-kurangnya sehingga bibir/lelangit yang dijahit sembuh. Apabila jahitan pada bibir dan lelangit sudah sempurna dan sembuh, penyusuan bayi akan bertambah mudah.

 

Selepas pembedahan lelangit, diet cecair adalah disyorkan. Ibubapa ada melaporkan bahawa ais krim lembut, yogurt dan puri buah-buahan adalah baik. Ais krim lembut menyejukkan dan membantu pembekuan darah, serta membuat tempat itu kebas, dan tidak terasa sakit.

 

Makanan pejal: Makanan pejal perlu diperkenal kepada bayi klef seperti bayi lain. Walau bagaimanapun, banyak kesabaran dan penjagaan diperlukan untuk memantau pengambilan makanan. Sebagai contoh, makanan pejal boleh dicairkan untuk memenuhi keperluan bayi. Jangan terkejut jika ada makanan yang terkeluar daripada hidung bayi klef lelangit. Bayi akan belajar untuk menyesuaikan diri.

bottom of page